
Syahid Mutahhari merupakan pemikir, pendidik dan penulis asal Iran yang terkenal pada kurun ke-14 Hijriah (hidup pada 1920 – 1980 Masihi). Beliau merupakan salah seorang arkitek pemikiran yang berpengaruh mencorak pandangan Islam Muhammadi Asil di kalangan pemuda Iran ketika itu dengan gaya khasnya. Karya beliau banyak mengupas permasalahan falsafah, sejarah dan teologi Islam. Allamah Mutahhari dikagumi oleh ramai pemikir dan golongan intelek Iran mahupun luar dan menggelar beliau sebagai “Benteng Ilmu Islam” atas jasanya menjawab dan melawan pemikiran dan falsafah meterialistik barat.

Murtadha Muthahari, yang lebih dikenali sebagai Syahid Muthahari atau Ustad Muthahari, merupakan seorang permata Islam yang menonjol dan cemerlang. Beliau dilahirkan pada Februari 1920 di Fariman, Iran. Sebagai cendekiawan ulung, Syahid Muthahari telah memberikan sumbangan besar terhadap pemikiran dan gagasan politik Islam.

Beliau adalah anak kepada Sheikh Muhammad Hussein Muthahari, seorang pendakwah dan guru agama di lokalitinya. Dengan latar belakang keluarga yang cintakan ilmu, Syahid Muthahari menerima pendidikan awalnya di bawah bimbingan ayahnya yang telah memberikan dasar keislaman yang kukuh sehingga membentuk cara pandang alamnya yang jernih.
Syahid Muthahari memulakan karier awalnya sebagai guru di Sekolah Sepahsalar, Tehran sebelum menjadi pensyarah di Universiti Tehran pada usia 34 tahun. Beliau juga telah menerima beberapa anugerah dalam bidang keilmuan seperti Anugerah Ilmu Diraja melalui tulisannya yang berjudul Usul-e falsafa wa rawish-e ri’alism serta pengiktirafan UNESCO atas penerbitan buku Dastan-e Rastan pada tahun 1965.
Pada usia muda, Syahid Muthahari telah melibatkan diri dalam gerakan politik di Iran. Beliau terlibat secara aktif dalam revolusi Islam pada tahun 1979 sehingga menumbangkan rejim Shah Pahlavi. Syahid Muthahari memegang peranan penting dalam menata pemikiran ideologi dan politik dalam pemerintahan pasca-revolusi.
Peranan Syahid Muthahari dalam membentuk pemikiran masyarakat Islam Iran sangat besar. Salah satu kontribusinya yang signifikan adalah melalui Huseniyah-e Irsyad yang diterajui beliau sehingga menciptakn fenomena gelombang kebangkitan rakyat dan melahirkan gagasan-gagasan baru dalam pembentukan negara Islam di Iran dan dunia Islam secara umumnya.
Sebagai seorang cendekiawan dan pemikir ulung, Syahid Muthahari sering memberikan kuliah dan menulis tentang pelbagai masalah yang membelenggu masyarakat di zamannya serta menawarkan solusi yang praktikal bersandarkan dasar-dasar Islam dalam mendepani pengaruh pemikiran barat pada waktu itu.
Karya-karyanya melibatkan tafsir, falsafah, usul fikh, etika, politik, dan sosial sering mendapat perhatian khusus para pemikir lain dan telah diterjemahkan kepada pelbagai bahasa. Beliau dikenali kerana pendekatannya yang mendalam terhadap pemahaman Islam dan rumusannya yang segar.
Namun, perjalanan hidupnya tidak sentiasa mudah. Sepanjang perjuangannya, beliau telah beberapa kali dipenjarakan SAVAK dan dilarang daripada memberikan kuliah kepada masyarakat awam, antaranya pada tahun 1963, ketika Kebangkitan 15 Khurdad.
Pada tahun 1979, iaitu kurang dua bulan selepas kemenangan Revolusi Islam, Ustad Muthahari telah menjadi sasaran ke-2 serangan teroris anti-revolusi Islam yang dikenali sebagai MKO di Iran. Walaupun beliau sempat dibawa ke hospital, namun Ustad Muthahari akhirnya menemui syahadah akibat luka yang parah diterimanya dalam serangan teroris tersebut.
Kendati jasad beliau sudah tiada, namun warisan intelektual dan keilmuan yang ditinggalkan oleh beliau terus hidup dan memberikan inspirasi kepada generasi seterusnya. Syahid Muthahari menjadi contoh bagi mereka yang menghargai keilmuan, keberanian, dan keteguhan dalam menghadapi rintangan. Gagasan pemikiran beliau terus memotivasi dan membimbing umat Islam hari ini, khususnya di Iran, untuk mencapai kecemerlangan dalam berbagai bidang kehidupan dengan berlandaskan ideologi Islam Muhammadi yang murni.
