Tulisan karya Syahid Muthahari
Terjemahan oleh Karimah
_________________________
Ramadan 1445, Mac 2024

Nilai akal menurut
al-quran

Seperti yang kita ketahui terdapat beberapa kaedah dan resam yang menganggap bahawa dasar beragama berasaskan konsep berserah diri dan beriman semata, manakala akal serta hujah diandaikan terpisah dan tidak berkaitan dengan konsep berserah diri dan beriman, malah akal tidak diberi hak untuk campur tangan dalam perkara ini. Menurut resam dan kaedah ini, rujukan dan sumber iman adalah kekuatan lain selain daripada akal dan kebijaksanaan, dalam erti kata lain mereka mengatakan bahawa wujud perasaan dan naluri lain dalam diri manusia selain akal yang mana dengan ketetapannya, perasaan dan naluri manusia tersebut mengiktiraf dan beriman dengan perkara berkaitan keagamaan. Kadangkala apa yang dirasai melalui perasaan dan berserah diri kepadanya itu mungkin sahaja menemui percanggahan dan bertentangan dengan apa yang dikehendaki oleh akal, dan oleh kerana tingkat iman lebih tinggi daripada tingkat akal dan kebijaksanaan, maka tidak ada pilihan lain melainkan akal dan kebijaksanaan dibuang jauh-jauh dalam permasalahan ini.

Sering kedengaran dalam agama Kristian hari ini tentang konsep Triniti bahawa walaupun pegangan ini tidak sesuai dengan akal, namun harus diimani dan dipercayai kerana tingkat iman berada lebih tinggi daripada tingkat akal.

Al-Quran menghargai setiap apa yang digapai oleh logik akal dan bukan sahaja memberikan hak kepada akal untuk campur tangan dalam institusi bidang keagamaan, bahkan dalam usul agama terutamanya asas Usuluddin, iaitu Tauhid, dilihat sebagai titik khas akal dan kebijaksanaan, yakni dalam Usuluddin, ia tidak sesekali membenarkan penyembahan, taklid, berserah diri, dan beriman melainkan bersandar kepada logika akal, dan setiap mukalaf diwajibkan untuk “mengkaji” mengenai perkara ini.

Contohnya dari sudut agama Kristian, dalam asas agamanya; atau lebih khusus asas utama agama Kristian iaitu Triniti telah diisytiharkan sebagai zon larangan bagi akal, sedangkan dalam Islam, Usuluddin dan lebih khusus asas utama agama iaitu Tauhid telah diisytiharkan sebagai zon eksklusif bagi akal.

Pertama sekali, al-Quran sentiasa mengajak kepada taakul, tafakur dan tadabur. Banyak ayat yang diakhiri dengan rangkap “supaya kamu memahaminya”, “supaya kamu berfikir” dan seumpamanya, dan semua kita tahu mengenai ayatnya, namun sekarang bukanlah masanya untuk kami menghimpunkan dan menyebut kesemua ayat tersebut. Kami sebutkan dua ayat sebagai contoh.

Salah satunya ialah ayat 100 daripada Surah Yunus AS:

وَما كانَ لِنَفسٍ أَن تُؤمِنَ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۚ وَيَجعَلُ ٱلرِّجْسَ الَّذينَ لا يَعْقِلُونَ

Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah (melalui undang-undang dan peraturanNya) dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya).”

Ayat lain ialah ayat 22 daripada surah al-Anfal:

إِنَّ شَرَّ ٱلدَّوَآبِّ عِندَ ٱللَّهِ ٱلصُّمُّ ٱلْبُكْمُ ٱلَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ

Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).”

Kedua, banyak perkara perlu dibuktikan dengan dalil-dalil akal, seperti hujah untuk membuktikan permasalahan Tauhid, Hari Kebangkitan, Kenabian atau pembatalan hujah-hujah golongan penentang, dan bahagian ini akan disentuh kemudian secara terperinci.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *