
Oleh itu, ianya sebuah kitab yang pertamanya mengajak dan mengarahkan manusia kepada akal, berfikir, berlogika, merenung dan berilmu yang merupakan produksi kuasa pemikiran. Kedua, pada sebahagian pandangan-pandangannya, seperti Tauhid dan Hari Kebangkitan, ia berpegang dengan burhan aqli (akal), hujah golongan penentang dibatalkan dengan hujah-hujah akal dan ia meminta burhan dan dalil daripada mereka, dan al-Quran menyebut: “Katakanlah (wahai Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Surah Al-Baqarah: 111)
Ketiga ia menerangkan dan menyampaikan sejarah dan kisah lampau manusia, sebab dan punca kebahagiaan dan kesengsaraannya dan ia menerangkan secara logik dan munasabah bagi setiap hubungan antara akibat dan sebab psikologi serta kemasyarakatan.
Keempat, ia menganggap ketetapan-ketetapan dan perintah-perintahnya itu berpunca dan bersumberkan dalil-dalil, maslahat-maslahat serta hikmah-hikmah dan ia menunjukkan ke arah semua itu. Sehubungan itu, ia (al-Quran) harus benar-benar dikenali sebagai kitab hikmah.
Tiada pertikaian bahawa al-Quran menganggap akal itu muktabar (sah) dan boleh dijadikan sanad. Akal bagi kitab suci ini adalah bernilai dan mempunyai ketulenan. Namun ini tidak bermakna al-Quran menganggap kaedah isyraq dan ilham sebagai sesuatu yang tidak muktabar. Al-Quran ketika menerima kaedah akal sebagai muktabar, turut menerima kaedah isyraq dan ilham sebagai muktabar. Al-Quran tidak memandang kedua-dua kaedah ini sebagai saling bertentangan dan berlawanan. Dan bagi perkara yang berlaku pertikaian antara keduanya, al-Quran tidak akan menentukan taklif (tidak akan memihak kepada mana-mana belah pihak), kerana perkara sebegini tidak wujud dan pada istilahnya tiada topik untuk dipertikaikan. Akan tetapi pada masa yang sama diakui bahawa ufuk isyraq dan ilham ini lebih luas dan mendatar berbanding ufuk logik akal dan mantik.
Betapa banyaknya kebenaran-kebenaran (hakikat) yang terungkap dengan bantuan ilham, isyraq dan wahyu yang mungkin bertahun-tahun bahkan berkurun-kurun lamanya waktu diperlukan untuk dapat digabungkan dengan akal, pengetahuan serta kebijaksanaan, malah terkadang sulit untuk akal sampai ke tahap itu (mengungkap hakikat) dan mungkin saja ia tidak akan sama sekali dapat menyampaikan dirinya ke puncak-puncak tinggi tersebut.
“Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. (3) Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (4) Wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat Jibril) yang amat kuat gagah, (5) Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian dia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, (6) Sedang dia berada di arah yang tinggi (di langit); (7) Kemudian dia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu dia berjuntai sedikit demi sedikit, (8) Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah atau lebih dekat lagi; (9) Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukanNya. (10)”
Buat masa sekarang tajuk ini tidak akan dibincangkan iaitu ke tahap apa muktabarnya isyraq dan ilham menurut al-Quran, untuk siapakah ia, untuk orang awam biasa atau sebilangan khusus. Perkara ini telah dibahaskan dalam buku-buku irfan dan falsafah serta dalam sebahagian buku tafsir. Sekiranya kita mahu masuk ke dalam perbahasan ini, nescaya kita akan jauh dari perbahasan asal, begitu juga kami merasa cukup dengan apa yang telah kami nyatakan dari ayat-ayat yang mengajak kepada akal fikiran dan ayat-ayat yang mentafsirkan sejarah serta ayat-ayat yang mengarah kepada falsafah hukum fikah secara ijmal dan isyarat serta contoh yang disebutkan.

